Monday, December 26, 2016

Isu Guru di Malaysia

In the Name of Allah,The Most Merciful and Most Compassionate

Umum sedia maklum bahawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang memasuki Institut Pendidikan Guru, akan mendapat beberapa kemudahan dari segi kewangan iaitu, elaun sara diri. Dengan itu, suka untuk saya kongsi mengenai perbahasan memansuhkan elaun siswa guru (guru pelatih) di Institut Pendidikan Guru.

Tidak dinafikan, sebahagian besar perbelanjaan negara dihabiskan kepada pendidikan. Dan pendidikan tidak akan menjana wang kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Kita tidak jana wang, namun kita jana tenaga kerja, modal insan dan identiti rakyat khususnya warganegara Malaysia. Yang manakah akan memberi kesan positif jangka panjang terhadap pembangunan negara kita? Wang atau modal insan? Sudah tentulah modal insan. Pendidikan yang berkualiti akan menjamin lahirnya modal insan yang berguna dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat kelak.

Di sinilah tunjangnya, untuk memastikan modal insan yang baik dapat dihasilkan, terlebih dahulu, latihan dan kemudahan yang sebaiknya perlu disediakan kepada guru dan bakal guru. 

Kita tidak mahu lambakan 'guru segera*' yang berkerja untuk wang semata-mata. Kita perlukan guru yang secara semula jadinya, memang berminat untuk mengajar. Dengan itulah, kerajaan menubuhkan institut pendidikan guru (dahulunya Maktab Perguruan), hampir seratus tahun yang lalu (Maktab Pertama di Tanah Melayu ialah Maktab Perguruan Sultan Idris, kini bukan lagi maktab namun Universiti). Kini, terdapat 27 Institut Pendidikan Guru di seluruh Malaysia, dan 9 buah akan dimansuhkan secara berperingkat dalam masa 5 tahun. Guru yang dilahirkan dari IPG, akan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP). Para guru ini diberi pelbagai kemudahan seperti elaun sara diri dan tiada yuran setiap semester dikenakan. Yuran yang dikenakan hanyalah yuran kemasukan Pra PISMP (Asasi) semasa Tahun 1 dan yuran kemasukan PISMP (Ijazah Tahun 1). Dua kali sahaja dikenakan yuran sepanjang 5 tahun setengah belajar. Itu pun sangat murah dibandingkan dengan yuran di universiti awam. Tambahan lagi, siswa guru diberikan elaun sara diri setiap bulan, elaun buku setahun sekali, elaun praktikum dan elaun tesis. Banyak elaun mereka. Boleh dikatakan, pelajar IPG adalah anak emas KPM. 

Namun, mengertilah wahai rakyat dan masyarakat, kini kemasukan ke IPG ditapis dengan ketat sekali. Dahulunya, temuduga ke IPG tidak seketat sekarang. Kini, terdapat 1 kali ujian kecerdasan dan 1 kali temuduga bersemuka. Calon guru pelatih akan melalui Ujian Kecerdasan Calon Guru di IPG yang terpilih. Jika lulus ujian ini, barulah calon guru akan dipanggil semula untuk temuduga dalam sesi berasingan, sama ada temuduga di IPG yang sama, mahupun IPG yang lain. Selain itu, bilangan guru yang diambil saban tahun, adalah berdasarkan unjuran keperluan guru di sekolah-sekolah. 

Hasilnya, selepas mendapat latihan di IPG selama lima tahun setengan (kini, hanya lima tahun), para siswa guru ini perlu berkhidmat dengan kerajaan sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) selama 4, 5 atau 6 tahun. Kontrak yang tertulis dalam borang perjanjian adalah begitu maka, para siswa guru akan akur mematuhinya. Ia bukanlah jaminan pekerjaan, namun lebih kepada 'membayar' balik kepada kerajaan dengan bekerja dengan kerajaan. Isu memansuhkan elaun menjadi perbualan hangat dalam kalangan siswa guru IPG saban tahun. Benar, kerajaan memberi keistimewaan yang banyak kepada bakal guru, sesuai dengan 'kontrak' yang dijanjikan.

Bagi saya, keputusan memansuhkan elaun tersebut bukanlah terletak di tangan pelajar/siswa. Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati dengan isu elaun ini, kerana siswa di IPTA lain terpaksa menanggung beban hutang sedari umur 18 lagi. Apa yang dapat saya katakan ialah, pelajar IPTA bagi sebarang kos(course), mempunyai kebebasan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat seterusnya secara sepenuh masa, manakala siswa guru IPG tidak boleh berbuat demikian. Siswa guru IPG boleh menyambung Ijazah Sarjana namun secara separuh masa sahaja. Tambahan lagi, pelajar IPTA  boleh memohon kerja di mana-mana tempat yang dinginkannya, berdekatan dengan rumah, di negeri lain dan sebagainya. Namun, kami dalam sektor kerajaan, akan diberikan penempatan berdasarkan kekosongan jawatan. Jika terpaksa dihantar ke pedalaman, kami akan menurut perintah. (Walaupun ada tolak ansur juga dalam hal ini, ada beberapa perkara yang akan diberi kelonggaran bagi isu tertentu). Dengan itu, sesuailah dengan 'bayaran balik' yang perlu dilunaskan oleh siswa guru tersebut.

*Untuk menjadi jururawat, mereka juga dibayar elaun selama mereka belajar. Tidak ada pula pihak yang menidakkan elaun jururawat pelatih. Hm, musykil saya.

Isu dalam Kalangan Siswa Guru IPG

Siswa Guru Lembik

Ada mahasiswa yang menyatakan bahawa siswa guru IPG kebanyakannya penakut, lembik, tidak mahu turun berdemonstrasi menegakkan kebenaran. Baiklah, suka untuk saya terangkan. Apabila kita menerima, haruslah ada perkara yang mengawal kita, bukan? Begitu jugalah dengan siswa guru IPG. Kami akur pada Akta 174 rujuk sini. Akta ini melindungi siswa guru dari terjebak dengan perkara-perkara yang membawa kepada kemudaratan. Apabila seseorang itu bertekad untuk menjadi guru, pada masyarakat, guru itu tinggi nilainya. Guru sepatutnya berwibawa, membawa nama yang baik, akhlak mulia dan sebagainya. Sebarang kesalahan pada guru itu akan mencemar seluruh kebaikan guru itu selama ini. Dengan itu, siswa guru tidaklah dibenarkan untuk turun berdemonstrasi. Kita mempunyai strategi lain untuk menyebar luas fahaman yang benar kepada masyarakat. Pendidikan itu sendiri akan memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan kehidupan yang sempit. Demonstrasi sahaja tidak cukup untuk membantu untuk membentuk jati diri anak-anak belia dan murid kita. 

(Namun tidak saya nafikan, demosntrasi ada juga kebaikannya. Namun, siswa guru sekalian, kita ada cara yang lebih baik dalam menangani isu ini.)

Dengan itu, usah salahkan siswa guru yang tidak turun berdemo. Bukan salah mereka, yang anda boleh tujukan kata-kata nista.

Siswa guru ini akan menjawat jawatan sebagai Pegawai Kerajaan. Pegawai kerajaan juga mempunyai etika tersendiri dalam menyampaikan aduan kepada pihak atasan. 

Isu Guru Segera

Banyak sekolah mengalami kekurangan guru disebabkan oleh beberapa faktor, seperti guru sakit lama, guru melahirkan anak dan sebagainya. Faktor-faktor ini memang tidak dapat dielakkan. Dengan itu, sekolah akan mengambil Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) bagi mengisi kekosongan di sekolah. Biasanya GSTT akan berkhidmat selama 2 hingga 3 bulan, dan jika kekosongan itu tidak diisi dengan Guru Sandaran Terlatih (GST), maka GSTT akan mengajar di sekolah untuk jangka masa yang lama. Kebiasaannya, GSTT yang diterima untuk mengajar, dibuka peluang kepada lepasan SPM, Diploma dan Ijazah. Ada GSTT yang sangat baik dalam mengajar dan berminat untuk mengajar dan mendidik anak bangsa. Namun ada juga GSTT (mahupun GST) yang mengajar sekadar mahu memenuhi masa dan untuk mendapatkan wang. Kadangkala, boleh jadi prestasi sekolah tidak meningkat disebabkan oleh GSTT tersebut. Hal ini kerana, mereka tidak dilatih dalam bidang pendidikan. Bagi GSTT yang 'cincai' dan 'halai balai', sudah tentunya, persiapan pengajaran tidak dibuat dengan baik. Nah, jika guru kencing berdiri, apatah lagi anak muridnya, kencing berlarilah. Jika prestasi gurunya sedia teruk, apatah lagi anak muridnya. Dengan itu, faktor yang tidak dapat dielakkan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap pendidikan di negara kita.

Isu Penempatan Guru

Umum perlu mengetahui perkara ini, pendidikan khas mempunyai beberapa cabang khususnya bagi pendidikan guru di IPG. Terdapat 4 bidang pendidikan khas di IPG iaitu, Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Pendengaran, Pembelajaran dan Pemulihan. Kami diberi pendedahan mengenai pendidikan khas secara spesifik di IPG. Makna kata, jika saya belajar pendidikan khas masalah penglihatan, saya tidak mendapat pendedahan mengenai kaedah mengajar bagi murid bermasalah pendengaran. Saya tidak belajar bahasa isyarat, tidak tahu keperluan murid bermasalah pendengaran, tidak belajar pedagogi murid bermasalah pendengaran dan isu-isu yang terdapat dalam kalangan murid bermasalah pendengaran.

Kami belajar secara spesifik bagi bidang kami sahaja, dan diajar oleh pensyarah yang pakar dalam bidang ini sahaja. Contohnya, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kedua-duanya bahasa tetapi kedua-duanya diajar oleh pakar yang berbeza. Begitulah juga dengan pendidikan khas. Kami mempunyai pengetahuan am mengenai pendidikan khas am, namun terhad. 

Isu yang melanda bidang pendidikan khas saban tahun ialah salah penempatan. Asalkan namanya pendidikan khas, kami terus diletakkan di sekolah yang mempunyai label pendidikan khas. Misalnya:

Situasi yang berlaku
Bidang yang ditawarkan : Pendidikan Khas Masalah Penglihatan (Tempoh belajar : 5 1/2 tahun)
Penempatan yang diberikan : Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran

Bidang penglihatan dan pembelajaran itu jauh benar bezanya. Hakikatnya, kelemahan perkara ini hanyalah membawa keburukan kepada murid, bukanlah guru. Guru yang mengangkat sumpah sanggup mengajar hatta ditempatkan di pedalaman boleh mengajar dan mengubahsuai ilmu yang diperolehnya. Namun kasihanilah kepada murid yang memerlukan kepakaran guru-guru ini. Apabila guru yang diperlukan disia-siakan, salah siapa jika murid tidak dapat cemerlang?

Salah guru? Tidak, bukan dia minta ditempatkan di sekolah yang tidak sesuai dengan bidangnya.
Salah murid? Semestinya tidak, dia hanya menerima ilmu. 

Fikirkan. Mm.

Terdapat situasi di mana, guru pendidikan khas masalah penglihatan ditempatkan di sebuah sekolah pendidikan khas masalah pembelajaran. Namun, pada masa yang sama, terdapat sebuah sekolah pendidikan khas masalah penglihatan yang menerima 3 orang guru bukan opsyen pendidikan khas. Situasi ganjil seperti ini berlaku saban tahun, dan situasi di atas ini berlaku pada tahun 2016.

Dalam situasi ini, guru pk penglihatan yang memang berkelayakan dalam bidang ditempatkan di bidang lain, dan guru bidang lain pula disalah tempatkan di sekolah penglihatan. Guru bidang lain ini atau guru salah opsyen ini memerlukan masa untuk mengadaptasi situasi di sekolah pendidikan khas. Mereka perlu mengikuti kursus latihan dalam perkhidmatan, kursus Braille, kursus pedagogi pengajaran murid bermasalah penglihatan dan pelbagai kursus lain lagi.

Kami yang sudah belajar hingga lima tahun mengenai pendidikan khas penglihatan ini pula, disia-siakan?

Pernah suatu ketika, siswa guru bagi opsyen Pendidikan Jasmani Pendidikan Kesihatan (PJPK) di salah ertikan sebagai Pendidikan Khas (PK) disebabkan oleh huruf belakangnya PJPK. Kesalahan pegawai yang tersilap melihat tagging ini menyebabkan ramai ssiwa guru PJPK ditempatkan ke sekolah pendidikan khas. Nah, situasi ini bukan sahaja mengejutkan pihak sekolah, malah guru PJPK ini juga mengalami kemurungan dalam menjalankan tugas disebabkan oleh kecuaian pihak lain.

Hm. Sayang seribu kali sayang, situasi ini jika berterusan berlaku, akan membawa kerugian kepada guru dan para murid.

Analoginya, seorang doktor gigi diletakkan di bahagian Jabatan Pesakit Luar. Sedangkan bidangnya ialah merawat gigi, namun diletakkan di jabatan yang salah. Adakah dia dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik? Sudah tentulah tidak. Adakah pesakit yang demam selsema batuk dapat menerima rawatannya? Tentulah tidak bukan. Begitulah gambarannya, situasi yang berlaku dalam pendidikan ini merisaukan sebenarnya.

Adakah tiada usaha yang dilakukan bagi membendung masalah penempatan ini?

Saban tahun, pensyarah IPG melakukan pelbagai usaha yang termampu bagi 'menyelamatkan' nasib golongan murid berkeperluan khas dan penempatan siswa guru pendidikan khas termasuklah membuat kajian, perbentangan, menelefon pihak atasan dan sebagainya. Namun, saban tahun juga, hanya 10-20 % daripada siswa guru pendidikan khas penglihatan/pendengaran mendapat penempatan di sekolah yang memerlukan perkhidmatan kami. Saya sendiri pernah berjumpah dengan pihak atasan (secara kebetulan) dan saya mengemukakan isu ini kepada beliau. Namun, jawapan daripada pegawai yang mengiringnya adalah mengecewakan, "Sekurangnya, pelajar IPG dapat juga posting, jika hendak dibandingkan dengan pelajar lain". Isunya sekarang salah penempatan. Bukannya dapat posting atau tidak. Alangkah baik jika pihak atasan dapat tempatkan para siswa guru mengikut keperluan. Haih.

Andai sahaja alasan yang diberikan, "Guru Pendidikan Khas sudah mencukupi kuota, tiada lagi kekosongan." Kenapa kami diambil lima tahun lepas? Dan mengapa masih ada pengambilan pendidikan khas setiap tahun? Dan yang paling kritikalnya, mengapa ada pula guru opsyen lain ditempatkan di sekolah penglihatan tu?

Persoalan yang tiada siapa mampu jawab.

***

Fikirkan.

Dalam sesebuah organisasi, (jika anda pernah bergerak dalam persatuan atau badan), anda mesti tahu bahawa, mesti akan wujud manusia yang bertanggungjawab dalam organisasi dan manusia bertopengkan jawatan semata-mata. Begitulah kehidupan ini. Ada guru yang baik, ada guru yang jahat, ada polis yang baik, ada juga polis yang jahat, ada peniaga yang baik dan ada juga peniaga yang jahat. Dengan itu, jika wujudnya masalah dalam kalangan kakitangan kerajaan, semi kerajaan mahupun yang berkerja sendiri, usahlah ditohmah keseluruhan organisasi itu. Ambillah yang baik-baik dalam organisasi itu. Manfaatkanlah.

Jika anda pernah melalui saat sukar dengan guru di sekolah, adakah anda tidak mahu menghantar anak ke sekolah? Logiklah dan berlaku adil dan sederhanalah dalam setiap perkara.

Dengan itu, sedikit sebanyak kupasan mengenai isu guru di Malaysia ini, diharap dapat memberi pencerahan kepada masyarakat bahawa ia tidaklah mudah untuk menjadi seorang guru. Setiap pekerjaan juga mengalami cabarannya tersendiri. Setiap pekerjaan di dunia ini susah, tidak ada yang mudah. Namun, kita berusahalah sehabis baik agar dapat bermanfaat kepada orang lain. Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada orang lain, bukan?

No comments: