Monday, April 6, 2015

Hikmah Kembara : Mesir Negeri Berpasir

In the Name of Allah,The Most Merciful and Most Compassionate

7 Mac 2015

Aku tak mahu lupakan Mesir, dan kenangannya. [Syafawani, Feb 19, 2015]

Pada satu sisi, sebenarnya aku tidak mahu ke negeri ini. Mesir. Debunya menyesakkan, dinginnya melemaskan, dan makanannya belum tentu menyelesakan perutku yang semacam berangin sahaja. Namun, Dia Pengatur Segalanya. Perancangan dijalankan dan alhamdulillah, kami sekeluarga selamat tiba ke Kaherah pada 2 minggu lepas. Niat untuk melawat ke abangku yang belajar di Mansoura, diteruskan dengan perjalanan kembara hikmah ke beberapa tempat menarik di Mesir, Kaherah-Alexandria (Iskandariah)- Kaherah (Giza).

Dalam banyak tempat bersejarah, Mesir merupakan antara tempat yang mencuri hatiku. Masakan tidak, antara tamadun dunia juga pernah mengambil tempat di negeri ini. Mesir ini indah, dengan caranya sendiri. Aku sukakan Iskandariah lebih dari tempat lain. Lautnya cantik. Negeri ini bersih la juga. Dan sepanjang 5 hari di sini, aku banyak berfikir baiknya Tuhan, bukan sedikit tetapi Maha Banyak. Bukan sebelum ini aku tidak berfikir, tetapi, lain rasanya berada di negeri Anbiya'. Sentiasa membuatkan aku teringatkan kisah Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun. Aku dipeluk sirah dan membuatkan aku lebih menghargai kesusahan para Nabi menyebarkan dakwah, satu ketika dahulu.

Destinasi awal, Alexandria atau Iskandariah. Aku suka. Damai dan permai. Tetapi, sepanjang aku tinggal di sini, tidak satu saat pun aku berasa dipeluk nyaman. Aku terlalu sejuk! 13 darjah celcius ditambah dengan angin dari laut Mediterranean merasuk aku menjadi merampus. Aku tak tahan sejuk. Aku lebih sukakan Kaherah yang sederhana. Cumanya, Iskandariah lebih cantik. Mungkin aku akan ke sini lagi, tetapi bukan pada waktu sejuk. Supaya aku lebih menghargai sifat cantik yang Allah cipta di negeri itu.

Masyarakatnya berbeza, jauh sekali dengan sifat dan budaya masyarakat Melayu. Sungguh, keberadaan 10 hari di negeri ini mengajar aku untuk sabar melebihi segalanya, walau apa jua cara. Membuatkan aku lebih merindui negara aku, dan betapa aku menghargai negara aku. Aku kira, aku juga diberi rahmat untuk berjumpa dengan beberapa orang yang baik, sangat baik. Pakcik Arab dan pelajar Al-Azhar yang sanggup berjalan jauh demi menunjukkan arah.

Makanan. Disebabkan musim sejuk maka buah-buahannya masyaAllah! Segar bugar. Sedap pastinya. Aku rasa dalam masa 5 hari, sudah 3kg strawberi aku makan. Manakan tidak, 1kg strawberi untuk RM2.50?? Murahnya 6 kali ganda dari strawberi Jusco. Dan kegemaran aku semestinya isy bazinjan (roti yang diisi terung goreng berlada) Ya Allah sedapnya.....lazat! Walaupun aku akan seksa kesakitan disebabkan kekembungan tetapi aku tak kisah. Biar makan bagi puas, sakit kemudian. Asir! Asir sini memang terbaik. Jus buah segar tanpa air tanpa gula walau sebutir. Secawan untuk RM2.00. Jus strawberi memang terbaik. Dan, yang paling seronok adalah coklat. Galaxy Chocolates! Sudahlah murah, sedap pula. Rangkaian jenis produk Cadbury disini juga lebih banyak berbanding Malaysia. Kenapa Kenapa? Cadbury Malaysia, selagi ada halal JAKIM, selagi itu saya percaya padanya. Jadi, sila variasikan produk anda macam Mesir punya =D

Kalau sudah nama Melayu, pergilah merantau ke hujung dunia pun, tetap nasi yang dicari. Oleh itu, kami sentiasa menyewa di rumah apartment yang mempunyai dapur. Setiap hari, rutin kami adalah ke pasar pagi dan beli segala macam sayur, buah, daging, kambing, rempah, beras. Allahu, bilamana 4 hari tak makan nasi, dan akhirnya bertemu nasi, kami semua seperti kerasukan roh semangat padi. Bersyukurnya dapat makan nasi. Tetapi, lebih bersyukurnya sebab dapat makan. Masih ada orang yang tak dapat makan kan? Syukur, alhamdulillah.

Untuk destinasi terakhir, kami menyewa di rumah apartment yang berdekatan dengan Piramid. Dari 'rooftop' view memang boleh nampak Piramid dengan sangat jelas dan Kota Giza. Subhanallah..aku kerapkali memikirkan, betapa dasyatnya kerajaan Firaun satu ketika dahulu. Sedangkan makamnya menjulang tinggi, apatah lagi istananya bukan? Namun, dengan kuasa Allah, hancur lebur kemegahannya kerana kaum yang zalim tidak akan berada di jalan yang benar dan mereka tidak akan kekal dibiarkan Allah untuk memerintah. Pada negeri inilah Nabi Musa pernah dihanyutkan di sungai Nil, di Padang Pasir inilah yang menyaksikan ketabahan Asiyah yang mentauhidkan Allah diseksa oleh suaminya, Firaun dan pada negeri berpasir inilah Masyitah pernah membuktikan kebenaran dalam menyembah Allah, kelak beroleh syurga dan pahala.

Ingatkah pada Surah At-Tahrim? Doa Asiyah amat menyentuh hati!
Ingatkah pada kisah Isra' dan Mikraj Nabi? Baginda lalu di tepi kubur yang wangi, itulah kuburan Masyitah!

Allah muliakan Asiyah di dalam Al-Quran. Allah muliakan Masyitah sejak di dunia lagi.

Wanita mulia. Allah jadikan mereka mulia. Kerana mentauhidkan Allah. Dan mereka menjadi contoh buat para lelaki dan wanita Islam. Bilamana kamu menjaga diri, mentauhidkan Allah, mentaatiNya dan meninggalkan laranganNya, kamu akan dijanjikan syurgaNya. Itulah tempat selayaknya bagimu.

Aku rindu. aku akan rindukan Mesir. Tempat ini juga menginatkan aku pada Hassan al-Banna. Juga Imam As-Syafie. Juga pada Salahuddin Al-Ayubi. Juga pada Amru Al-Asr. Sejahtera ke atas mereka semua.

Aku akan kembali ke negeri ini. Jika panjang umurku, suatu hari nanti.

Latar belakang Kubu Salahuddin Al-Ayubi

Kembara ini penuh Hikmah. Hikmah yang aku dapat lihat setelah bertahun lamanya.
Terima Kasih Tuhan.

1 comment:

Soffeatul Raunaqiah said...

besnyaaa syafa dapat pergi.. nak gi jugaaaakk! haha macam tahu tahu je sape sang sahabat tu hahha.. >.<